Tinjauan
literatur konsep keberkesanan dan penambahbaikan sekolah
Pengenalan
Perubahan
dan pembaharuan di dalam bidang pendidikan negara berlaku begitu pesat sejak
beberapa dekad yang lalu telah
memberikan dampak yang bukan sedikit terhadap keseluruhan perancangan,
pembangunan, dan presatasi melibatkan semua peringkat dan tahap pendidikan sama
ada pendidikan
rendah,
menengah atau pun pendidikan tinggi. Isu-isu pendidikan tidak jemu-jemu dan
tidak putus-putus diperkatakan dan dibahaskan oleh semua lapisan masyarakat
menggambarkan bahawa pendidikan adalah satu aspek yang amat penting dalam
pembinaan satu negara-bangsa yang bersatu, bersetia, beretika dan
beragama, berkeupayaan dan berketrampilan memainkan peranan aktif dan produktif
dalam masyarakat antarabangsa.
Semuanya
ini bermula dari satu 'tempat' yang dinamakan sekolah. Inilah tempatnya kalau
kita mahu ianya diberi nama jolokan sebagai 'kilang mendidik dan membangun
insan'. Sekolah tidak sahaja dijangkakan menghasilkan produk dalam bentuk insan
yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran yang relevan dengan kehidupan dan
zaman tetapi lebih dari itu adakah insan-insan ini benar-benar terdidik dalam
erti kata menjadi insan yang berperikemanusiaan, berhati perut dan berperasaan,
berbudi dan berakal, berani menegakkan kebenaran dan membasmi kemungkaran,
seorang yang soleh lagi muslih, dan tunduk dan
patuh kepada khaliknya, Tuhan seru sekalian alam.
Harapan
dan jangkaan ibu bapa dan penjaga khasnya serta masyarakat amnya hari ini
terhadap prestasi dan kecemerlangan sekolah tidak dapat dipandang remeh lagi.
Setiap ibu bapa mengharapkan segala yang terbaik bagi pendidikan anak-anak
mereka daripada pihak sekolah. Sekarang pun sudah berlaku terdapatnya ibu bapa
yang terlalu memilih sekolah. Mengapa wujud kecenderungan ini? Sedarkah kita
bahawa suatu masa nanti akan berlaku fenomena ada sekolah-sekolah dikategorikan
sebagai sekolah ‘laris', 'sederhana laris' atau 'sekolah
tak laku'?
Di negara
maju sendiri berlaku dan meningkatnya ketidakpuasan hati dengan keadaan
sekolah-sekolah awam kini. Salah satu alternatif yang popular sekarang ialah
apa yang dipanggil 'home schooling'. Di Saskatchewan,
bilangan murid-muird yang mengikuti 'home schooling' telah meningkat
sehingga 30% setiap tahun sejak 1993. The Saskatchewan Home-Based Educators
menjangkakan bilangan murid-murid'belajar di rumah' akan mencapai
3,000 orang menjelang alaf baru. Tidak mungkinkah senario seumpama ini akan
wujud di negara kita satu masa nanti?
Rasa
tidak puas hati dan rasa kecewa dengan sekolah-sekolah awam bukannya omong
kosong. Masyarakat
mengejar keputusan; mereka hendak melihat sekolah-sekolah yang baik dan
berkesan. "In schools, treading water is no longer an option. School
people must either propel themselves in some direction, be towed, or sink"
(Barth, 1990). Dengan itu jelas sekali aliran sebegini membuktikan betapa
tendesaknya sekolah-sekolah menilai dan mengambil langkah-langkah perlu dalam
konteks menjadi sekolah-sekolah yang lebih dan betul-betul berkesan.
TINJAUAN KAJIAN
Kritikan
terhadap persekolahan semakin ketara sekitar tahun 60-an, sikap masyarakat
menjadi pesemistik kepada pemikiran yang mengatakan latar belakang dan pengaruh
sosial menentukan pencapaian murid-murid lebih daripada pengajaran rasmi di
sekolah (Madaus, Airasian & Kellaghan, 1980). Kemudian sekitar tahun-tahun 70-an dan 80-an daripada kajian-kajian
oleh Edmonds (1979) dan Goodlad (1984) mendapati bahawa tanpa mengambil
kira latar belakang murid sesetengah sekolah lebih 'berkesan' atau 'memuaskan'
daripada yang lain. Di Britain, Rutter, Maughan,
Mortimore dan Oustan (1979) telah mengenepikan mitos bahawa
sekolah-sekolah mempunyai pengaruh terhad ke atas pembentukan diri insan (murid). Daripada kajian-kajian
ini beberapa ciri sekolah berkesan telah dikenalpasti.
Semua ini
berkait rapat dengan apa yang kita panggil 'profesionalisme'. Inilah
aspek yang patut ditekan dan diutamakan dalam seluruh ruang dan masa setiap
orang guru ketika bertugas di sekolah lebih-lebih lagi bagi Guru Besar
sebagai pemimpin institusi.
Abdul
Rahman Arshad (1989) mengatakan, "Kalau kita hendak menebus mutu
pendidikan negara ini, yang paling penting bukan di sekolah menengah.
Apa sebabnya?" Bagi beliau beberapa keadaan di sekolah-sekolah
rendah memerlukan 'perubahan' dan 'pembangunan' yang amat
mendesak jika 'keberkesanan' sekolah sekaligus mutu pendidikan dan
pencapaian para pelajar hendak dipertingkatkan. Keadaan-keadaan yang beliau
sebutkan ialah:
·
suasana di sekolah rendah ini dari segi persekitarannya
tidak begitu menggalakkan;
·
oleh kerana tahap akademik juga rendah, maka
profesionalismenya juga rendah;
·
sekolah-sekolah itu kecil; oleh itu kaitan dan
perhubungan dari segi membangunkan fikiran hampir tidak ada;
·
terdapat guru-guru di sekolah rendah yang kurang mendapat
latihan dalam perkhidmatan. Majlis Guru Besar hendak dibangunkan secaras lebih
luas, jangan jadi satu badan yang "ceremony"; badan yang
bertemu hanya untuk melantik jawatankuasa, tetapi majlis ini mempunyai orang
yang perlu melihat dari segi kesesuaian buku teks, sistem mengajar,
kaedah-kaedah yang digunakan, perbincangan mengenai pencapaian. Inilah
keutamaan untuk meningkatkan profesionalisme.
KONSEP
PEMBANGUNAN SEKOLAH BERKESAN
Istilah sekolah berkesan bukan baru
bagi kita di Malaysia kerana telah sering diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin
pendidikan kita sama ada di dalam persidangan, kolokium, seminar-seminar, taklimat-taklimat
atau pun sesi dialog dan mesyuarat yang sering diadakan. Kajian-kajian yang
dijalankan di Amerika Syarikat (Edmonds, 1979; Goodlad, 1984), Eropah
(Creemers, 1992), Britain (Rutter, Maughan, Mortimore & Ouston, 1979;
Mortimore, Sammons, Stoll, Lewis & Ecob, 1998) dan di Kanada (Renihan,
Renihan & Waldron, 1986) telah mendapati bahawa sesebuah sekolah di
mana seseorang murid itu belajar sebenarnya memberi kesan kepada pembentukan
dan pencapaian (Rutter et.al.1979).
Sekolah tidak beroperasi dalam satu vakuum. Ianya
merupakan komposit perhubungan pengajaran dan pembelajaran dan interaksi
antara murid-murid, antara guru-guru dengan murid-murid, antara staf dan
kakitangan lain, dan hubungan serta peranan aktif dan positif di pihak ibu bapa
dan masyarakat setempat. Imej sebuah sekolah yang berkesan dipengaruhi oleh 'keberkesanan
pengajaran dan pembelajran di dalam sekolah itu.'
Aspek
atau ciri-ciri yang ditunjukkan dalam sekolah berkesan dan seterusnya
pembangunan berterusan adalah:
·
kepemimpinan pengajaran yang berkesan
·
tujuan yang jelas
·
iklim sekolah yang teratur, tertib dan selamat
·
jangkaan penguasaan minima semua murid
·
ujian digunakan bagi penilaian dan 'membetulkan arah'
program
·
matlamat akademik yang jelas
·
penglibatan ibu bapa dan penjaga
·
wujudnya kesejawatanan (collegiality)
Kini
perhatian lebih tertumpu kepada budaya organisasi dan pembangunan
keadaan-keadaan yang
merangsang penciptaan budaya sekolah berkesan. Ini menjadi cabaran dan satu
tanggungjawab ke atas bahu kepemimpinan sekolah yang sepatutnya boleh menjadi 'transformational
school leaders' yang membangun dan memantapkan budaya kolaboratif,
mengupayakan guru-guru menerusi perkongsian bijak dalam membuat keputusan
dan menyelesaikan masalah secara kolektif.
Sesungguhnya
kepemimpinan adalah fungsi kunci di dalam keberkesanan sekolah, budaya dan imej
sekolah. Fullan (1992) menyatakan bahawa peranan Guru Besar wajar dibentuk
semula daripada 'jaga' kepada 'pemimpin pengajaran'.
Ciri-ciri yang terdapat di kalangan pemimpin-pemimpin sekolah yang berkesan antaranya, pertama ada
sikap berani menghadapi risiko, tidak berpuas hati dengan status
quo, tidak pula dihalang oleh sekatan-sekatan organisasi. Selain itu
pemimpin seperti ini menjadi teladan kepada guru-gurunya dan berpegang
kepada keyakinan bahawa sekolah akan mencapai kejayaan. Dengan menggunakan
pendekatan 'empowerment' yang betul dalam membuat keputusan, pemimpin
begini berjaya mempengaruhi "the capacity to improve from
within". Keduanya
pemimpin berkesan mempunyai satu komitmen yang amat kuat kepada
pengupayaan guru-guru melalui permuafakatan.
Sergiovanni
(1992) menggariskan matlamat-matlamat seorang pemimpin transformasional di dalam
satu budaya sekolah seperti berikut:
1.
komitmen kepada nilai-nilai teras (core values)
yang dipersetujui dan dilaksanakan oleh
semua staf,
2.
mengamalkan etika penyayang,
3.
mewujudkan visi yang jelas dan hala tuju dengan staf,
4.
menggalakkan lebih banyak membuat keputusan secara
permuafakatan.
BUDAYA
SEKOLAH BERKESAN
Schein (1985) mendefinisikan budaya sesebuah organisasi
sebagai "tanggapan dan kepercayaan yang dikongsi bersama oleh ahli-ahli
organisasi, berlaku secara tidak disedari, dan dalam bentuk 'taken-for-granted'
sesebuah organisasi itu melihat persekitaran dan dirinya sendiri". Manakala Holly dan
Southworth (1989) mentakrifkan budaya sekolah sebagai "konteks dan
setting sekolah, proses dalamannya dan makna di mana ahli-ahli
organisasi menyatakan dunia pekerjaan mereka". Ringkasnya
kedua-dua definisi menunjukkan suatu proses yang berterusan dan bersifat
evolusi, dan digerakkan oleh tekanan luaran, potensi dalaman, respon kepada
hal- hal kritikal...dan faktor-faktor peluang. peranan penting (antara peranan-peranan lain)
pemimpin dalam membangun budaya yang wajib disedari ialah; pemimpinlah
yang menggerak dan mengekalkan wawasan yang jelas, visi yang dikongsi dan
dibangunkan bersama oleh seluruh ahli organisasi sekolah. Sekolah-sekolah yang
menuntut 'mengongsi visi' digelar sebagai 'high consensus schools'.
Apakah ciri-ciri yang boleh kita lihat di sekolah ini?
·
Menghargai permuafakatan: di mana semua guru mesti
mengambil berat terhadap 'kesihatan' sekolah sebagai organisasi. Permuafakatan
dapat menghindarkan keterasingan guru, sikap pentingkan diri sendiri sehingga
tidak mahu mengakui wujudnya masalah atau tidak mahu melihat masalah orang lain.
Dengan permuafakatan guru-guru bersama-sama menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan di samping menghargai kesaling-bergantungan dan bantu-membantu sesama
staf.
·
Dalam sekolah berkesan budaya berjalan lebih mirip kepada
komuniti berbanding organisasi. Dalam
komuniti kejayaan dan kegagalan dikongsi bersama, saling tolong-menolong, dan
bertingkah-laku menurut norma-norma dan kepercayaan dalaman. Satu komuniti
bertindak berdasarkan kepercayaan teras yang dipersetujui dan berdiri tegak di
atas tapak yang satu.
Keresahan dan ketidaktentuan
tentang apa yang patut dibuat apa tidak patut dibuat, apa yang wajar atau apa
pula yang tidak wajar, tidak wujud.
Guru-guru tidak hilang punca dengan hal-hal yang tidak dijangka atau
perkara-perkara bukan rutin, tidak juga mereka menyalahkan orang lain jauh
sekali daripada memejamkan mata kepada situasi-situasi yang bermasalah.
Sebaliknya guru-guru mempamerkan sikap keyakinan yang tinggi, mereka tahu di
mana mereka berpijak dan langit mana yang mereke junjung.
·
Ciri ketiga budaya sekolah berkesan ialah keyakinan guru.
Guru-gurunya penuh yakin dalam tugasnya setiap hari, mereka lebih bersedia
menerima cabaran-cabaran, mengambil risiko, dan melahirkan idea-idea kreatif
serta rumusan-rumusan. Ekoran daripada keyakinan ini akan wujud optimisme dan
iltizam.Tempat kerja menjadi lebih menyeronokkan sementara guru-guru mendapat
penyempurnaan dan kepuasan profesionalisme daripada kerja-kerja mereka menerusi
kawalan kepada penyelesaian masalah dan membuat keputusan, sokongan dari rakan
sejawat dan bertambahnya peluang-peluang belajar dengan berkongsi pengetahuan
dan pengalaman serta kepakaran.
MEMBANGUN
SEKOLAH BERKESAN
Pembangunan tidak sahaja kepada sesuatu yang sudah runtuh
dan musnah, pembangunan kepada situasi dan keadaan yang sedia adalah juga
termasuk dalam pengertian pembangunan. Pembangunan perlukan perubahan pemikiran
dan sikap, perubahan pendekatan dan strategi, perubahan alat dan instrumen
serta perubahan nilai dan norma. Budaya sekolah harus boleh mengadaptasi 'permintaan'
dan 'konflik'.
Perubahan
yang paling berkesan adalah perubahan dari dalam sekolah itu sendiri.
Peranan
menangani perubahan bagi membangun budaya sekolah berkesan yang harus dimainkan
oleh para pemimpin sekolah adalah seperti berikut:
·
Pemimpin sekolah melakukan perubahan dengan melihat
pengaruh-pengaruh luaran dan dalaman serta isu-isu berkaitan, dan dalam
melaksanakannya bertindak secara responsif bukan bertindak secara menghalang.
·
Pemimpin bertanyakan soalan-soalan bukan memberikan
jawapan-jawapan.
·
Pemimpin menggalakkan dan memudahkan perbincangan dan
pertimbangan mendalam bagi menuju perubahan daripada sekadar merancang atau
mengarahkannya sahaja.
·
Kegagalan dan kesilapan dikongsi bersama. Memegang prinsip "The
first rule of leadership, everything is my fault."
·
Pemimpin
mengekalkan berpegang kepada teras kepercayaan yang merupakan asas kepada
kewujudan komuniti sesebuah sekolah.
Membangunkan
suatu budaya sekoah yang sihat berkait rapat dengan amalan-amalan kepemimpinan
yang berkesan di pihak Guru Besar. Budaya ialah nadi yang menggerak dan
mengarahkan serta menggambarkan segala komitmen yang ditunjukkan oleh
komuniti sesebuah sekolah itu. Di satu segi, sekolah akan mempersembahkan
suatu imej yang menggambarkan budaya sekolah itu kepada seluruh warganya
iaitu murid-murid, ibu bapa mereka dan masyarakat umum.
IMEJ
SEKOLAH : SEKOLAH BERKESAN
Renihan dan Renihan (1998) mendefinisikan imej sekolah
seabagai "keseluruhan pandangan-pandangan yang subjektif mengenai
kualiti pembelajaran dan persekitaran sosial..'perasaan' kolektif yang terbina
oleh masyarakat sebagai hasil daripada pemerhatian dan pengalaman terhadap
sesebuah sekolah itu."
Membaiki dan
membangunkan imej sekolah mesti ada keazaman yang kuat kepada keberkesanan
imej yang sedia ada. Renihan dan Renihan membahagikan imej sekolah kepada lima
jenis, masing-masing jenis itu pula diperjelaskan dengan dua dimensi yakni: cakna
pastoral (memupuk perhubungan berkesanan, hormat-menghormati, keterbukaan)
dan cakna kosmetik mempromosikan kejayaan sekolah dalam masyarakat, beri
perhatian kepada penampilan). Jenis-jenis imej sekolah yang dimaksudkan itu
seperti berikut:
1.
sekolah synergistik
- tinggi kedua-dua pastoral dan kosmetik
2.
sekolah 'candy store'
- tinggi penampilan, rendah perhubungan
3.
sekolah 'disaffected'
- rendah kedua-dua aspek pastoral dan aspek kosmetik
4.
sekolah
monastik - rendah penampilan,
tinggi aspek perhubungan
5.
sekolah 'survivor'
- sederhana dalam kedua-dua dimensi.
Jadi tugas dan peranan Guru Besar
ialah memantau dan membuat pengukuran
secara berterusan terhadap imej
sekolahnya, secara formal dan tidak formal, menerusi 'stakeholders'.
Soalan-soalan yang harus dijawab seperti apa imej yang dikehendaki? Adakah
unsur-unsur tertentu terdapat di sekolah? Bagaimanan
unsur- unsur ini dapat bersepadu dengan visi dan kepercayaan sekolah? Patutkah
dilakukan perubahan?
Bagaimana
perubahan hendak dipantau?
Dengan
demikian seseorang Guru Besar sebagai pemimpin transformasional
mestilah berkeupayaan dan mampu menangani perubahan, walaupun ianya tidak
popular tetapi amat kritikal dan genting dalam konteks meningkatkan imej dan
seterusnya 'keberkesanan sekolah' secara menyeluruh dalam semua aspek iklim dan
budaya sekolah. Pemimpin sekolah mestilah mengenalpasti apakah
'penyakt-penyakit' yang sedang menular di kalangan staf atau kakitangan
terutamanya yang perlu dibanteras dan diperbetulkan 'kiblat' dan 'arahnya'
supaya semua orang tidak tersasar daripada tugas hakiki dan bagi mendapatkan
sepenuh komitmen merealisasikan sekolah berwatak dan berkesan ini. Menangani
perubahan dan mendapatkan komitmen padu seluruh ahli organisasi adalah salah
satu cabaran besar yang perlu dihadapi dan di atasi jika kita mahu melihat
kejayaan dan keberkesanan program pembangunan yang dilakukan. Segala-galanya
hendaklah diurus dan ditangani dengan bijak dan penuh hikmah.
KOMITMEN
Kajian-kajian yang dijalankan mendapati secara konsisten
telah membuktikan bahawa terdapatnya perkaitan yang
amat rapat antara iklim
sekolah yang positif dengan lain-lain ciri pengukuran terhadap kejayaan dan keberkesanan sesebuah
sekolah itu seperti;
pencapaian akademik, disiplin yang
tinggi,produktiviti staf dan pengurusan yang berkesan.
Eugene
Howard (1987) menggariskan sebelas faktor (lapan ciri khusus dan tiga lagi ciri
umum) yang menyumbang
kepada pembangunan iklim sekolah yang positif.
Faktor
khusus:
1.
Pertumbuhan akademik dan sosial yang berterusan.
2.
Hormat: murid dan staf punyai 'harga-diri' dan saling
bertimbang rasa.
3.
Kebolehpercayaan: rasa percaya yang tinggi kepada orang
lain.
4.
Morale yang tinggi: murid dan staf berasa selesa dan baik
berada di situ.
5.
Kejelekitan: adanya rasa kepunyaan dan kekitaan.
6.
Peluang kepada input: mampu dan boleh menyumbang idea dan
mengambil bahagian.
7.
Pembaharuan: adanya keterbukaan kepada perubahan dan
penambahbaikan.
8.
Penyayang: murid dan staf merasakan orang lain mengambil
berat tentang mereka.
Faktor
umum:
1.
Program-program kurikulum, aktiviti-aktiviti dan
polisi-polisi.
2.
Proses mengajar dan stail pembelajaran, penyelesaian
masalah dan komunikasi.
3.
Sumber-sumber bahan dan kemudahan-kemudahan di sekolah.
Apa pun
faktor dan keadaan atau ciri-ciri yang telah kita kenal pasti, atau yang sedia
kita ketahui dan
alami
sebelum ini tidak akan memberi apa-apa erti dan makna jika kita sebagai
pemimpin di peringkat sekolah tidak berupaya memberikan komitmen yang
bulat dan padu dalam membentuk, membangun dan seterusnya melahirkan sekolah
berkesan apatah lagi sekolah berwatak yang dapat dikenali daripada sesuatau
ciri atau aspek yang menonjol, tersendiri dan unik. Pemimpin transformasional
yang berkesan mesti menyedari dan menghayati ungkapan watak General Hopper
dalam filem
animasi In A
Bug's Life: " The first rule of leadership, everything is
your fault." Dengan kata-kata lain kemunduran, kegagalan,
ketidakberkesanan, kelewatan, kelederan dan ketidakcaknaan adalah salah diri
kita, berpunca daripada diri kita selaku pemimpin yang tidak berkesan,
pemimpin yang tidak berwawasan; ringkasnya peminpin yang lemah.
Pentingnya kepemimpinan yang berkesan tidak dapat
dinafikan dalam mempengaruhi secara positif kepada kualiti imej sekolah secara
keseluruhan, dan biasanya Guru Besarlah orangnya yang diletakkan segala harapan
bagi menjadikan sesebuah sekolah itu maju, berjaya, meningkat dan cemerlang
dari masa ke semasa. Omar Hashim (1993) dalam Pendidikan: Persoalan,
Penyelesaian dan Harapan menyebut;
" Bahawa bagaimana guru besar, begitulah sekolahnya! Kenyataan ini
sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada kita betapa besarnya tanggungjawab
seseorang guru besar dalam urusan untuk melahirkan "corak" sekolahnya
itu, sama ada untuk kebaikan atau pun sebaliknya."
Di
sekolah guru-guru bergantung kepada kepemimpinan seorang pemimpin dalam aspek
berikut:
·
Visi;
·
Komitmen kepada nilai
dan norma;
·
Bersikap asertif, menghargai usaha guru-guru; dan
·
Pemupukan unsur kesejawatanan yang berkesan.
1.
VISI: Visi adalah 'gambaran mental' atau bersifat
imaginatif di
mana sseseorang pemimpin itu 'melihat ke depan' tentang rupa bentuk,
iklim, budaya dan imej sekolahnya yang hendak dibentuk, dibangun dan dicapai
menerusi pelan tindakan yang terancang, dan tersusun menggunakan pelbagai
pendekatan dan strategi yang rasional dan praktikal.
2.
KOMITMEN kepada nilai dan norma; visi tanpa komitmen
samalah dengan 'bermimpi di siang hari'. Komitmen adalah satu sikap
diri yang ditunjukkan
dalam segala tingkah-laku dan cara berfikir seseorang dalam melaksanakan tugas
dan tanggungjawabnya. Komitmen yang tinggi terhadap kelangsungan organisasi dan
kebajikan murid umpamanya dapat dilihat daripada perilaku guru-gurunya yang
datang awal, mengajar dengan semangat, tidak curi tulang, tumpuan kepada kerja
dan mutu kerja, menepati masa dan paling utama meletakkan kepentingan organisasi
mengatasi kepentingan peribadi. Orang-orang yang berkomitmen yang tinggi juga sentiasa
dapat mematuhi dan menepati norma-norma
organisasi atau masyarakat
sama ada
norma-norma yang tersurat atau pun yang
tersirat. Ringkasnya komitmen adalah
manifestasi kepada 'second creation' di mana visi adalah 'first
creation'nya.
3.
BERSIKAP ASERTIF, menghargai usaha guru-guru; merupakan
satu lagi aspek
penting yang perlu ada pada seseorang pemimpin transformasional, iaitu
imbangan di antara ketegasan dan desakan. Seorang yang asertif bijak dalam 'mendesak
dan menggesa' daripada orang-orang bawahnya
supaya sesuatu perancangan dan
tindakan dapat dipenuhi dan dilaksanakan seperti yang dikehendaki. Oleh kerana
'pemimpin' tidak wujud tanpa 'pengikut', seorang pemimpin yang berkesan
sentiasa menyedari bahawa kerjasama apatah lagi komitmen yang padu tidak
mungkin diperolehi tanpa 'kesetiaan' dan 'kesediaan'
pengikut-pengikut untuk bekerja bersama-samanya bagi mencapai matlamat dan
objektif yang ditetapkan; maka pemimpin berkesan sentiasa menunjukkan
penghargaan kepada sumbangan guru-gurunya dalam pelbagai bentuk dan cara.
4.
PEMUPUKAN unsur kesejawatanan yang berkesan; di dalam sesebuah organisasi manusia
tidak bekerja seorang diri, apa pun tugas dan peranannya seseorang itu tetap perlukan orang lain
membantunya atau terlibat
sama. Kesejawatanan atau "collegiality"
bermaksud satu
budaya kerja yang ada kaitannya dengan perpaduan, kerjasama,
bantu-membantu, hormat-menghormati, nasihat-menasihati
atau tegur-menegur di antara ahli-ahli kumpulan atas dasar profesionalisme. Jadi pemimpin yang
berkesan mestilah berkeupayaan mewujudkan suasana kesejawatanan ini di
kalanngan guru-gurunya, mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan sepanjang
masa di samping mengelakkan dan mencegah unsur-unsur kronisme, nepotisme,
favouritisme, rodongisme, pilih-kasih, berat sebelah, adu-domba,
fitnah-memfitnah, hasad dengki, dan iri hati; di dalam interaksinya dengan staf
dan kakitangan lain di sekolah.
KESIMPULAN
Menjadi seorang pemimpin di peringkat sekolah, sama ada
sebagai Guru Besar, Penolong Kanan atau pun Guru Kanan Mata Pelajaran, tidak
semudah yang disangka. Sifat-sifat terpuji diri peribadi berserta beberapa ciri
kepemimpinan perlulah ada dan dikuasai pada tahap yang cemerlang dan tinggi
supaya matlamat, misi dan visi sekolah, masyarakat dan negara dapat dicapai. Merealisasikan
sebuah sekolah yang
berkesan dan berwatak,
dengan iklim yang positif dan budaya yang tersohor tidak mungkin dicapai dengan
berangan-angan sahaja. Semua warga sekolah mestilah memahami konsep berhubung
keberkesanan dan kecemerlangan in secara menyeluruh di samping menumpahkan
segala komitmen dengan semangat kesejawatanan yang tinggi dalam menggarap dan
mewujudkan sekolah berkesan dan berwatak.
Adalah menjadi tugas utama seorang pemimpin trasnformasional
pendidikan berupaya dan berkebolehan menjadi role-model yang
dapat memberi inspirasi dan motivasi kendiri kepada anak didik dan guru-gurunya
di sekolah dan kepada ibu bapa dan penjaga murid-murid. Pemimpin berkesan
mesti boleh menunjukkan 'keikhlasan' dalam melaksanakan tugas, di
samping dapat mengenalpasti mana-mana guru yang bekerja dengan tidak ikhlas;
yakni melakukan sesuatu dengan mengharapkan 'balasan' atau
imbalan. Orang-orang hipokrit amat merbahaya kepada organisasi. Perbuatan tidak
ikhlas ini akan mendatangkan bibit-bibit tidak puas hati,
sakit hati dan iri hati di
kalangan staf-staf yang lain pula. Bagaimana kesejawatanan dan
keberkesanan sekolah hendak diwujudkan jika keadaan ini berlaku dan
mencengkam hati dan
perasaan mereka yang melihatnya
sebagai satu 'ketidakadilan'
di pihak
kepemimpinan sekolah?
Pemimpin yang berkesan mestilah memiliki ciri-ciri akauntabiliti
dan kredibiliti dalam semua tindak-
tanduknya di sekolah. Edmund R. Murrow menyatakan: " To be
persuasive, we must be believable; to be believable, we must be credible; to be
credible, we must be truthful." Orang yang tidak berkata benar,
tanda hatinya tidak ikhlas; juga tandanya seorang yang tidak dapat dipercayai
dan tidak ada kredibiliti dan akuntabilti. Bagaimana jika orang macam ini jadi
pemimpin organisasi?
Sebagai pemimpin transformasional pendidikan, kita sangat
wajar mengenalpasti hati dan budi guru-guru kita dalam melaksanakan tugas
mengajar dan mendidik, adakah guru-guru kita bekerja kerana 'takut' atau
kerana 'cinta'? Orang yang bekerja kerana takut walau nampak taat dan rajin
namun jauh di lubuk hatinya masih bersarang perassn ria' halus, dan akan
melahirkan emosinya apabila tidak mendapat anugerah 'menegak' atau pun
'melintang'. Rabi'ah al-Adawiyah diriwayatkan menjawab pertanyaan Sufian
al-Thauri apabila dipersoalkan hakikat iman, sebagai berkata; "Aku
menyembah-Nya bukan takut kepada neraka-Nya dan bukan cintakan kepada
syurga-Nya. Kalau itulah tujuannya samalah seperti buruh yang tidak baik, jika
dia takut dia bekerja, bahkan aku menyembah-Nya kerana cinta dan rinduku
kepada-Nya."
Hanya apabila 'cinta' kepada tugas dan cinta kepada
organisasi di mana seseorang itu berkhidmat, tanpa berselindung dan
berpura-pura, barulah wujud komitmen sejati yang akan melahirkan warga pendidik
yang menepati ciri seorang yang soleh lagi muslih. Omar Hashim (1993) menyebut;
"Kalaulah kita mahukan pendidikan kita pada hari ini berperanan serta
bertujuan untuk mengangkat martabat kemanusiaan anak-anak kita masa depan
supaya menjadi individu-individu yang soleh dan berbudi, maka kita sebagai
pendidik "wajib" membentuk diri kita terlebih dahulu sebagai manusia
yang soleh dan berbudi. Bagaimanakah kita hendak mendidik
anak-anak kita supaya bermoral sedangkan kita
sendiri tidak bermoral? Bagaimana kita hendak
mendidik supaya anak-anak kita gemar membaca, sedangkan kita sendiri
tidak mempunyai minat membaca? Bagaimana kita hendak
mendidik anak-anak kita supaya berperikemanusiaan, sedangkan kita sendiri bersikap kasar dan
tidak bertimbang rasa?"
Kerja memimpin dan membimbing adalah suatu kerja
yang tidak ada penghujungnya perlu dijadikan keutamaan dalam
senarai tugas kepemimpinan
pendidikan di
sekolah. Mengenali ciri dan memahami konsep serta mewujudkan komitmen dalam
membangun diri (dan organisasi) agar dapat menjadi guru sebenar guru, ke
sekolah tidak jemu, mengajar tidak lesu; patut menjadi agenda utama dalam
merealisasikan
sekolah berkesan dan sekolah berwatak.ٱ
Rujukan
Abu
al-Wafa' al-Ghanimi al-Taftazani (Dr.) (1996). Perkembangan Tasawwuf Islam.
Terjemahan Prof. Dr. Abdul Shukor Hj. Husin dan Dr. Mudasir Rosder. Bahagian
Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.
Howard,
Eugene (1987). The Importance of Positive School Climate, in Handbook
for Conducting School Climate Improvement Projects. Phi Delta Kappa Educational
Foundation, 1987.
Bolender,
Mary (1997). A Study of The Evolving Image of A New School Within the
Context of School Effectiveness. SSTA Research Centre.
Omar Mohd
Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan
Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Ramaiah,
AL. (Dr.) (1992). Kepimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini. IBS Sdn. Bhd.
Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
No comments:
Post a Comment